Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto: Hernie Suliana Haji Othman, Ihsan Majlis Perundingan Mukim Lumapas
LUMAPAS, Ahad, 14 Jun, – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Lumapas dengan kerjasama majlis-majlis perundingan kampung di bawah Mukim Lumapas, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Lumapas hari ini menganjurkan Sambutan Hari Keluarga Mukim Lumapas Tahun 2026, bertempat di padang Sekolah Rendah Lumapas.
Acara berkenaan diadakan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan seluruh penduduk Mukim Lumapas, memupuk semangat perpaduan serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui pelbagai aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas, Daerah Brunei dan Muara.
Majlis dimulakan dengan acara perasmian yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, sekali gus menandakan pembukaan rasmi Sambutan Hari Keluarga Mukim Lumapas Tahun 2026.
Sepanjang program berlangsung, para peserta dan pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti sukan ria, permainan tradisional, pertandingan keluarga dan reruai jualan usahawan tempatan serta aktiviti santai yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan yang disusun bagi memberi peluang kepada para penduduk daripada pelbagai peringkat usia untuk mengambil bahagian.
Acara-acara berkenaan bukan sahaja menguji kemahiran dan kerjasama peserta, malah turut menceriakan suasana sepanjang sambutan berlangsung.
Sambutan Hari Keluarga Mukim Lumapas berkenaan akan terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan dan mampu memperkukuh lagi semangat muafakat, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Sambutan berkenaan diharap akan terus menjadi platform yang berkesan dalam mengukuhkan hubungan kejiranan serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat Mukim Lumapas.